BERITA SEMASALUAR NEGARA

11 ditahan terbabit sindiket kad pengenalan palsu Rohingya

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand menahan 11 individu, termasuk seorang bekas pegawai kanan daerah, kerana disyaki terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri untuk warga Rohingya melibatkan nilai ketirisan sekurang-kurangnya 15 juta baht (RM1.95 juta).

Menurut laporan Bangkok Post, operasi penguatkuasaan besar-besaran itu menyasarkan kegiatan mengeluarkan kad pengenalan kategori 0 (Type-0), iaitu dokumen pengenalan diri 13 digit yang dikhaskan kepada individu tanpa kerakyatan atau tanpa status sah.

Antara yang ditahan ialah bekas Timbalan Ketua Daerah Don Sak di Wilayah Surat Thani yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Daerah Khanom di Wilayah Nakhon Si Thammarat.

Mahkamah turut mengeluarkan 17 waran tangkap membabitkan pegawai kerajaan, individu yang bertindak sebagai penjamin menerusi pengesahan palsu serta migran Rohingya yang dipercayai memperoleh dokumen tersebut secara tidak sah.

Bagaimanapun, enam lagi suspek masih diburu pihak berkuasa.

Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai menguruskan kira-kira 240 kad pengenalan palsu antara 2021 hingga 2023 dengan mengenakan bayaran tinggi kepada pelarian Rohingya.

Polis Diraja Thailand berkata, semakan dan pemutihan data kini diperluaskan ke seluruh negara bagi membatalkan semua dokumen yang diperoleh secara tidak sah daripada pangkalan data rasmi kerajaan.

Selain berdepan pertuduhan memalsukan dokumen, Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLO) turut membekukan akaun kewangan milik suspek bagi menyiasat aliran wang serta mengesan kemungkinan kaitan sindiket itu dengan aktiviti pemerdagangan manusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button