Kenyataan Nazifuddin kaitkan PRN Johor dengan pembebasan Najib membimbangkan – Fahmi
BATU PAHAT – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan yang mengaitkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai isyarat sokongan terhadap usaha membebaskan atau memberi pengampunan kepada mana-mana individu sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Mengulas mengenai kenyataan Datuk Nazifuddin Mohd Najib yang mendakwa kemenangan BN di Johor akan menjadi isyarat rakyat mahu bapanya, Najib Razak dibebaskan, Menteri Komunikasi itu berkata, kenyataan sedemikian dilihat tidak selari dengan tujuan sebenar pengundi turun memilih kerajaan negeri.
“Ramai yang ingat pilihan rakyat negeri ini adalah untuk menentukan kepimpinan negeri, tapi kenyataan beliau itu agak mengejutkan dan saya percaya ia membuka mata ramai.
“Kita tak keluar mengundi untuk beri hal peribadi. Ini adalah untuk rakyat, untuk bangsa Johor, masa depan negeri Johor,” katanya selepas Program Ramah Mesra Menteri Komunikasi bersama Penduduk Kampung Istana di sini, hari ini.
Baca juga : PRN Johor: Fahmi tempelak ramalan Kian Ming, jauh menyimpang daripada realiti kempen
Fahmi berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan yang dibuat oleh Nazifuddin Najib yang dilaporkan mengaitkan kemenangan besar BN dalam PRN Johor nanti sebagai isyarat rakyat menyokong bapanya dan berharap bekas perdana menteri itu diampunkan.
Menurut Fahmi, proses pilihan raya perlu difahami sebagai medan memilih kepimpinan negeri yang akan menentukan hala tuju pembangunan serta kebajikan rakyat.
“Saya sedikit risau dengan kenyataan beliau itu dan saya percaya ramai dalam kalangan rakyat dapat memahami apa yang perlu mereka lakukan,” katanya.
Pada masa sama, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuradukkan urusan peribadi dengan proses demokrasi yang sedang berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















