BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Perodua Kancil maut kemalangan bukan di bawah pengaruh arak

BATU PAHAT –  Polis mengesahkan pemandu Perodua Kancil yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 127, Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran Parit Sempadan, Semerah, semalam, bukan memandu di bawah pengaruh alkohol sebaliknya dipercayai mengalami masalah kesihatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati warga emas berusia 72 tahun itu mengalami masalah kesihatan namun penyakit yang dihidapinya masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari, mengorbankan pemandu Perodua Kancil di lokasi kejadian, manakala pemandu Nissan Sentra berusia 21 tahun mengalami kecederaan.

Tangkap layar kereta Perodua Kancil yang dipandu secara berbahaya di Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran Parit Sempadan, Semerah, Batu Pahat, semalam.

“Daripada siasatan dijalankan, polis mendapati warga emas itu mengalami masalah kesihatan dan bukan mabuk. Bagaimanapun, penyakit yang dihidapinya belum dapat dipastikan lagi.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan sebuah Perodua Kancil dipandu dalam keadaan tidak stabil sebelum merempuh sebuah Nissan Sentra di lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki yang dipercayai anak kepada pemandu Perodua Kancil tampil menjelaskan bapanya berkemungkinan mengalami hipoglisemia akibat penurunan paras gula dalam darah ketika memandu.

Menurutnya, ahli keluarganya juga tidak menyedari bapanya keluar dari rumah di Muar kerana tidak memaklumkan perkara itu, selain beberapa panggilan telefon yang dibuat kepadanya tidak dijawab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button