BERITA SEMASA

Empat masjid di Duyong tawar pengurusan jenazah, tahlil percuma

MELAKA – Empat masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma kepada anak kariah termasuk menanggung kos kenduri tahlil malam pertama bagi meringankan beban waris.

Masjid terlibat ialah Masjid Al-Wahab Permatang Duyong, Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama, Masjid Al-Abrar Semabok dan Masjid Laksamana Hang Tuah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif yang memasuki tahun ketiga itu membuktikan masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai institusi kebajikan yang membantu masyarakat ketika berdepan kehilangan.

Menurut beliau, selain menguruskan jenazah tanpa bayaran, beberapa masjid turut menyediakan jamuan kenduri atau majlis tahlil yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak masjid.

“Ada masjid mengadakan kenduri pada hari kematian, manakala ada yang menghimpunkan beberapa keluarga untuk majlis tahlil setiap malam Jumaat dengan kehadiran lebih 100 jemaah.

“Alhamdulillah, sepanjang program ini dilaksanakan, ia dapat diteruskan hasil sumbangan orang ramai yang sentiasa bertambah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, kos pengurusan jenazah tanpa bantuan boleh mencecah lebih RM1,000, bergantung kepada keadaan tanah perkuburan dan kos penggalian kubur.

Katanya, bagi mengurangkan kos operasi, golongan wanita bergotong-royong menyediakan kain kapan, manakala golongan belia menghasilkan papan liang lahad secara sukarela.

Tambah beliau, program itu yang bermula dengan bantuan awal RM5,000 kepada setiap masjid kini diteruskan menerusi infak masyarakat, sumbangan syarikat korporat dan individu yang pernah menerima manfaat daripada perkhidmatan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button