NGO urus jenazah di Melaka henti operasi serta-merta – Noor Helmy
KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah di Melaka bersetuju menghentikan operasi serta-merta selepas mengakui kesalahan yang dilakukan pihak mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, keputusan itu dicapai selepas tular dakwaan bahawa NGO terbabit meminta bayaran daripada waris kanak-kanak perempuan walaupun pada awalnya dimaklumkan ia adalah percuma.
Menurut beliau, walaupun berada di Tanah Suci, beliau memandang serius perkara itu dan segera mengarahkan pegawainya bertemu wakil NGO Van Jenazah Melaka (VJM) bagi mendapatkan penjelasan.
“VJM mengaku ada membuat permintaan bayaran daripada waris bagi menampung kos (pengurusan).
“Setelah semakan, didapati VJM ada melakukan kesalahan ketika menjalankan operasi mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Noor Helmy berkata, wakil NGO itu turut mengakui kesilapan yang dilakukan dan bersetuju menghentikan operasi mereka berkuat kuasa serta-merta.
Pada masa sama, beliau menjelaskan tiada pegawai forensik atau pegawai rumah mayat di mana-mana hospital terlibat dalam operasi yang dijalankan oleh NGO berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Aktivis Sosial dan Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai kerana cakna dengn isu tersebut sehingga tindakan segera dapat diambil.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan sebuah NGO di Melaka yang menawarkan khidmat pengurusan jenazah secara percuma meminta bayaran daripada waris selepas urusan pengebumian selesai, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















