BERITA SEMASA

Kerajaan negeri Kelantan akan bentang semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi diluluskan

PASIR MAS – Kerajaan negeri Kelantan akan membentangkan semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang sebelum ini dibatalkan Mahkamah Persekutuan, bagi diluluskan di Sidang Dewan Undangan (DUN) Kelantan pada dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu sudah mendapat kelulusan di peringkat Exco, lapor BERNAMA.

“Dalam persidangan DUN Kelantan yang terdekat ini kita akan lulus kembali undang-undang yang sudah dibatalkan oleh mahkamah apabila ada orang Kelantan sendiri yang mencabar undang-undang syariah Islam dalam bab takzir ini.

“Kita akan bawa semula dan di peringkat Exco dah diluluskan. Segala perjuangan kita tidak putus asa, ada orang batal, kita bawa balik, dia batal lagi, kita bawa semula balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pasir Mas yang dirasmikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, usaha mempertahankan pelaksanaan undang-undang syariah di Kelantan akan diteruskan meskipun berdepan cabaran di mahkamah.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024, menerusi keputusan majoriti 8-1 mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah kerana Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal kesalahan yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan.

Keputusan itu dibuat susulan petisyen yang difailkan oleh seorang peguam dari Kelantan, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai pembahagian bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri dalam penggubalan undang-undang jenayah syariah.

Sebelumnya, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang berasal dari Kelantan dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Kedua-dua beranak itu mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button