Onn Abu Bakar mahu politik berhemah, maafkan kenyataan Akmal
BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh terhadapnya sebagai perkara yang tidak perlu diperbesarkan malah memilih untuk memaafkannya.
Menurut beliau, sebagai individu yang baharu pulang mengerjakan ibadah haji, Akmal sepatutnya lebih banyak menyampaikan perkara yang baik, berdakwah dan melakukan kebajikan.
“Aura orang balik haji biasanya cakap yang baik-baik, berdakwah, buat kebajikan. Tak apalah, saya maafkan dia,” kata Ahli Parlimen Batu Pahat itu ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama media di sini malam tadi.
Terdahulu, Akmal dilaporkan menyifatkan kenyataan Onn bahawa PH mampu membangunkan Johor seperti Selangor dan Pulau Pinang sebagai tidak berasaskan fakta.
Beliau berkata, kenyataan itu juga menimbulkan persoalan kerana prestasi ekonomi Johor ketika ini mengatasi kedua-dua negeri berkenaan berdasarkan data rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, Johor merekodkan pertumbuhan KDNK tertinggi di negara ini iaitu lapan peratus, berbanding Pulau Pinang sebanyak 7.3 peratus dan Selangor 6.3 peratus.
Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat sebelum ini berkata, rekod pentadbiran PH di Selangor dan Pulau Pinang membuktikan keupayaan gabungan itu mengurus negeri dengan baik serta memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira negeri asal mereka.
Pada masa sama, Onn Abu Bakar menyatakan hasrat untuk membangunkan Pantai Sungai Lurus sebagai destinasi ekopelancongan baharu di Batu Pahat.
Menurutnya, kawasan berkenaan mempunyai potensi besar untuk dimajukan, namun memerlukan penambahbaikan dari segi landskap, kebersihan serta kemudahan awam seperti tandas dan surau.
Beliau turut mencadangkan penambahan penanaman pokok rhu bagi mewujudkan kawasan yang lebih redup dan selesa kepada pengunjung, selain kerjasama bersama SWCorp bagi memastikan aspek pengurusan sampah lebih teratur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















