Malaysia tidak berganjak dalam kes Jho Low walaupun AS pertimbang pengampunan – PM
KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus berpegang kepada proses perundangan dalam menangani kes membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, meskipun terdapat laporan bahawa beliau berkemungkinan menerima pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan AS berhubung perkara itu adalah urusan negara berkenaan dan tidak akan menjejaskan pendirian Malaysia.
“Pendirian Malaysia jelas, kita ikut jalur hukum. Itu soal keputusan negara Amerika Syarikat, urusan mereka. Namun, pendirian kita tidak terpengaruh, terganggu atau tergugat oleh keputusan Amerika Syarikat,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jho Low merupakan antara kira-kira 250 individu yang sedang dipertimbangkan untuk menerima pengampunan daripada Trump sempena sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan AS yang dijadualkan berlangsung esok.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau mengambil maklum mengenai cadangan penyaluran dana sebanyak RM1 juta daripada AS bagi projek restorasi Tugu Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-70 tahun hadapan.
Menurut beliau, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















