PRN Johor: PH tampil manifesto ‘Johor Untuk Semua’, tawar 80,000 rumah mampu milik dan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) bertemakan Johor Untuk Semua yang menekankan pembangunan inklusif, peluang pekerjaan bermaruah, perumahan mampu milik serta pentadbiran berintegriti bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran negeri itu dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, manifesto berkenaan dibangunkan hasil pandangan dan aspirasi pelbagai lapisan masyarakat Johor, termasuk pekerja yang berulang-alik ke Singapura, golongan orang kurang upaya (OKU), penduduk kampung, bandar, FELDA serta komuniti berpendapatan rendah.

Menurut beliau, rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan yang lebih cekap, bersih, rendah diri dan lebih mengutamakan kebajikan rakyat berbanding kepentingan golongan elit.
“Manifesto ini lahir daripada suara majoriti rakyat Johor yang mahukan sebuah kerajaan yang lebih cekap, lebih bersih, lebih merendah diri dan tidak sombong, serta lebih peduli terhadap nasib rakyat berbanding kepentingan golongan elit dan maha kaya,” katanya ketika melancarkan manifesto PH Johor sempena PRN Johor, hari ini.
Pelancaran manifesto berkenaan disempurnakan Ahli Majlis Presiden PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR.
Hadir sama, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching; Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta calon-calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN berkenaan.
Beliau berkata, tema Johor Untuk Semua dipilih bagi menegaskan komitmen PH untuk memastikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu atau kawasan tertentu sahaja.
“Johor bukan untuk segelintir, bukan untuk kroni dan bukan juga untuk golongan kayangan. Kita mahu kemajuan dan kemakmuran dikongsi serta dirasai oleh seluruh rakyat Johor,” katanya.
Maszlee berkata, manifesto tersebut dibina berasaskan empat tonggak utama iaitu pekerjaan yang bermaruah, rumah mampu milik, kehidupan sejahtera dan kerajaan yang berintegriti.
Katanya, PH beriltizam untuk memastikan lebih ramai anak Johor dapat membina masa depan di negeri sendiri melalui penyediaan peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka.
Dalam aspek perumahan pula, beliau berkata, PH berjanji menyediakan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun bagi membantu pasangan muda dan keluarga memiliki kediaman sendiri.
Selain itu, manifesto berkenaan turut menggariskan sasaran mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, memperuntukkan RM500 juta bagi Dana Anak Muda Johor serta menyediakan perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun kepada rakyat yang layak.
Bagi membantu pemilikan rumah pertama, PH turut menawarkan bantuan sehingga RM8,000 kepada anak Johor yang layak.
Maszlee berkata, bagi memastikan manifesto itu memberi impak segera kepada rakyat, PH turut mencadangkan lima inisiatif utama, termasuk penubuhan 250 Taska MADANI dan taska di tempat kerja, pas pengangkutan awam RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU, serta pelaksanaan Program Balik Johor bagi membawa pulang bakat-bakat Johor yang berkhidmat di Singapura dan luar negara.
PH juga mencadangkan pemberian Bonus Anak Johor sebanyak RM1,000 bagi setiap kelahiran di negeri itu serta penubuhan Tribunal Hak Tanah Johor bagi mempercepatkan penyelesaian isu tanah dan pajakan yang membelenggu rakyat.
“Manifesto ini bukan sekadar dokumen pilihan raya, tetapi sebuah dokumen yang mewakili suara hati rakyat.
“Kita tidak menjual mimpi atau menawarkan bulan dan bintang, sebaliknya kita menawarkan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau menegaskan manifesto tersebut merupakan peta jalan untuk menjadikan Johor sebagai negeri paling maju, paling adil dan paling sejahtera di Malaysia, dengan aspirasi menjadikan negeri itu sebagai ‘Shenzhen of Southeast Asia’.
“Johor untuk semua. Kemajuan dikongsi, kemakmuran dirasai dan masa depan dijamin,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















