Mohd Khuzzan tawar lima teras pembangunan Semerah
BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar menggariskan lima teras utama sebagai visi pembangunan kawasan itu sekiranya diberi mandat pada pilihan raya akan datang.
Mohd Khuzzan berkata, Semerah yang terletak di pinggir bandar Batu Pahat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan yang lebih maju, moden dan berdaya saing, khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian, pendidikan serta pembangunan komuniti.
Menurutnya, pembangunan kawasan itu perlu dilaksanakan secara seimbang tanpa mengabaikan identiti serta warisan setempat, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri, agensi berkaitan dan masyarakat.
“Saya yakin dengan perancangan yang baik, Semerah mampu berkembang menjadi sebuah ekosistem urban yang lebih moden dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Khuzzan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (2018–2020) berkata, pengalaman beliau sebelum ini akan dimanfaatkan bagi meneruskan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh di kawasan berkenaan.
Beliau turut menggariskan lima teras utama pembangunan Semerah, iaitu ekonomi rakyat dan peluang pekerjaan, infrastruktur dan kemudahan awam, pendidikan dan pembangunan anak muda, kesihatan dan kebajikan serta komuniti harmoni dan keselamatan.
Bagi teras ekonomi rakyat, beliau menekankan usaha memperkukuh Dana Usahawan Semerah, memperluaskan program TVET serta memperkasakan sektor agro bagi meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Dalam aspek infrastruktur pula, beliau memberi tumpuan kepada penyelenggaraan jalan kampung, peluasan akses internet serta usaha tebatan banjir bagi mengurangkan risiko bencana di kawasan berkenaan.
Sementara itu, dalam teras pendidikan dan anak muda, beliau mencadangkan penubuhan Tabung Pendidikan Semerah, pembangunan Pusat Belia MADANI serta pelaksanaan Seri Sulong Sports City sebagai pusat pembangunan sukan.
Bagi aspek kesihatan dan kebajikan, beliau mencadangkan Klinik Bergerak Semerah, Kad Prihatin Semerah serta pembangunan konsep Bandar Mesra Warga Emas.
Teras kelima pula memberi fokus kepada perpaduan komuniti, keselamatan serta pembangunan inisiatif Semerah Bersih dan Hijau, selain mempromosikan sektor pelancongan dan warisan tempatan melalui pembangunan hab budaya dan kesenian Johor.
Mohd Khuzzan berkata, semua perancangan itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan pembangunan seimbang dan inklusif.
“Saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Semerah untuk bersama-sama membawa perubahan demi masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















