DALAM NEGERI

Kerajaan perketat penguatkuasaan e-waste, 133 kontena dihantar pulang

PELABUHAN KLANG – Kerajaan terus memperketatkan penguatkuasaan terhadap kemasukan buangan elektronik (e-waste) ke negara ini apabila sebanyak 133 kontena berjaya dihantar pulang ke negara asal hasil operasi bersepadu di Pelabuhan Klang.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan kerajaan dalam membanteras kemasukan buangan terjadual secara haram.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan di pelabuhan berkenaan dilaksanakan secara sistematik dan berfasa melibatkan pemeriksaan ratusan kontena oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi berkaitan.

“Sehingga kini, sebanyak 54 operasi pemeriksaan telah dijalankan melibatkan 777 kontena, dengan 462 daripadanya dikenal pasti mengandungi buangan terjadual.

“Daripada jumlah tersebut, 133 kontena telah berjaya dihantar pulang ke negara asal, manakala tindakan penguatkuasaan terhadap baki kontena sedang diteruskan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Syed Ibrahim yang juga juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan kementerian mengadakan lawatan kerja ke Unit Pelabuhan Port Klang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini, hari ini bagi menilai keberkesanan pelaksanaan operasi di lapangan.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, bagi Fasa 1, sebanyak 148 kontena telah diperiksa dan 139 kontena berjaya dikeluarkan dari Malaysia.

Susulan itu, katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Task Force E-Waste bersetuju supaya tindakan penggantungan lesen dikenakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi arahan pengeluaran kontena dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, pemeriksaan Fasa 2 yang melibatkan 615 kontena kini sedang dipergiatkan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi mempercepatkan tindakan susulan.

Menurut beliau, pelaksanaan operasi berfasa itu menunjukkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

“Kejayaan membanteras penyeludupan e-waste bergantung kepada penguatkuasaan tegas serta kerjasama strategik antara Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Westports Malaysia serta agensi berkaitan,” katanya.

Pendekatan bersepadu itu, jelas beliau, bukan sahaja meningkatkan kecekapan pemeriksaan, malah memastikan setiap kontena disyaki dapat dikenal pasti dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan melalui pemantapan kerjasama rentas agensi, penambahbaikan prosedur operasi serta peningkatan keupayaan di lapangan bagi memastikan Malaysia tidak menjadi destinasi pelupusan buangan haram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button