POLITIK

PRN Negeri Sembilan: PKR negeri serah senarai calon kepada Kepimpinan Pusat

SEREMBAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan telah menyerahkan senarai nama calon bagi 16 kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pihaknya mengemukakan sekurang-kurangnya tiga hingga lima nama calon wanita, golongan muda dan calon lama bagi setiap kerusi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu turut yakin DAP dan AMANAH negeri juga telah menyerahkan senarai nama calon parti masing-masing untuk dipertimbangkan kepimpinan pusat.

“Kita dah hantar (senarai nama). Kita akan selaraskan dengan calon-calon daripada PH yang lain iaitu DAP dan AMANAH dan kita sedang mencari satu tarikh sesuai untuk kita umumkan (calon),” katanya selepas hadir pada Majlis Penyerahan Insentif Geran Aktiviti Kampung Orang Asli Negeri Sembilan 2026, di sini hari ini.

Pada 13 Jun lepas, Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata, pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menyaksikan PKR bertanding 16 kerusi, DAP dengan 11 kerusi dan baki sembilan kerusi lagi ditandingi AmANAH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala penamaan calon pada 18 Julai dan 28 Julai ditetapkan bagi pengundian awal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button