JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Selangor bongkar aktiviti penyelewengan LPG bersubsidi, rampas RM56,000

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya merampas 190 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan terhadap aktiviti penyelewengan di sebuah premis di Sungai Pelek, Sepang, semalam.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 2.10 petang itu merupakan hasil pemantauan selama dua minggu di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

“Hasil pemeriksaan di lokasi menemui aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong gas 50 kg komersial di dalam kawasan terbabit.

“Kami mengesyaki aktiviti di premis ini menjual LPG 50 kg yang berisi LPG bersubsidi kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Hanif berkata, susulan serbuan itu, seorang lelaki ditahan bagi diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut.

Pada masa sama, hasil pemeriksaan di premis berkenaan turut menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan, antaranya hos penyambung serta beberapa bungkusan plastik berisi ais.

“Kami percaya bekalan LPG subsidi diperoleh daripada pemborong berlesen sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.

“Berdasarkan maklumat awal, KPDN Selangor akan memfokuskan siasatan rantaian pembekalan yang membawa kepada aktiviti tidak bertanggungjawab ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sitaan dijalankan ke atas 190 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50 kg yang dianggarkan seberat 2,050 kg.

Selain itu, sebuah lori bonded turut disita menjadikan nilai keseluruhan rampas berjumlah RM56,000.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button