PM nafi agihan peruntukan tidak adil, banyak negeri terima lebih tinggi daripada yang disumbang
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan berlaku tidak adil dalam pengagihan peruntukan kepada kerajaan negeri, sebaliknya menegaskan kebanyakan negeri menerima peruntukan yang lebih tinggi berbanding hasil cukai yang disumbangkan kepada kerajaan pusat.
Beliau berkata, dakwaan kononnya terdapat negeri yang dianaktirikan atau dipinggirkan adalah tidak berasas kerana agihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan mendesak rakyat, termasuk pelaksanaan projek infrastruktur, pembasmian kemiskinan dan pembangunan asas.
“Saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskan. Seluruh senarai negeri ada pada saya, saya akan bacakan.
“Semua negeri perolehi peruntukan yang lebih ketimbang sebelumnya dan juga ketimbang purata hasil cukai, melainkan Selangor dan Pulau Pinang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) berhubung dakwaan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Sarawak menjadi contoh terbaik kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri apabila rundingan berkaitan hak negeri dapat diselesaikan secara baik.
Menurutnya, buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Negeri Sarawak menyerahkan bayaran tunai sebanyak RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan susulan penyelesaian berkaitan pengurusan pelabuhan.
“Ini adalah rekod dalam sejarah kerana ini adalah kali pertama, satu kerajaan negeri menyerahkan wang tunai dan dia bagi cek tunai kepada saya,” katanya.
Mengulas peruntukan kepada beberapa negeri, Anwar berkata purata hasil cukai yang disumbangkan Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025 ialah RM946 juta, namun perbelanjaan Persekutuan di negeri itu mencecah RM8.9 bilion.
Beliau berkata, Kedah menyumbang purata hasil RM3.7 bilion bagi tempoh sama, manakala perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM9.5 bilion.
“Bagi Terengganu, hasil ialah RM1.2 bilion dan kita tambah lagi RM1.2 bilion daripada hasil minyak, menjadikan jumlahnya RM2.4 bilion, sedangkan perbelanjaan Persekutuan adalah RM7.8 bilion,” katanya.
Menurut Anwar, Perlis pula mencatatkan hasil RM419 juta dengan perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM2.2 bilion, manakala Johor yang menyumbang kira-kira RM14 bilion menerima perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM16 bilion.
Beliau berkata, kerajaan terus mengekalkan pendekatan pengagihan berdasarkan keutamaan dan keperluan mendesak termasuk projek tebatan banjir, Lebuhraya Pan Borneo, sistem saliran, pembinaan jalan baharu, kemudahan pendidikan dan pembasmian kemiskinan.
Selain itu, katanya, kerajaan turut meningkatkan pelbagai bentuk bantuan kepada negeri termasuk Ecological Fiscal Transfer (EFT), pemberian tahap dan capitation grant.
“Jadi saya harap dengan penjelasan ini boleh mengundang pandangan tambahan, cadangan, tetapi tidak benar sama sekali tohmahan bahawa negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.
“Kalau nak banding, saya nak tegaskan di sini bahawa kerajaan MADANI-lah yang memberikan peruntukan tertinggi kepada negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan ketimbang sebelum ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















