BERITA SEMASA

Malaysia sasar jadi hab penerbangan mampan serantau

PUTRAJAYA – Peralihan kepada penerbangan mampan kini bukan sekadar tanggungjawab terhadap alam sekitar, malah menjadi peluang ekonomi yang strategik bagi Malaysia.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, Malaysia berhasrat untuk meletakkan negara sebagai hab serantau bagi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), pembuatan aeroangkasa hijau, operasi Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) pintar karbon serta teknologi penerbangan generasi akan datang.

Menurutnya, jika peluang tersebut direbut dari awal, kemampanan boleh menjadi enjin baharu bagi pertumbuhan perindustrian Malaysia.

“Peralihan ini akan membolehkan kita menarik pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mengukuhkan penyertaan dalam rantaian bekalan aeroangkasa global dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran yang semakin dipacu oleh kemampanan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Simposium Penerbangan Mampan APAC MyAERO 2026 di Hotel Everly hari ini.

Beliau berkata, industri penerbangan hari ini menyumbang kira-kira dua hingga tiga peratus pelepasan karbon dioksida global dan angka tersebut akan meningkat jika tiada tindakan tegas diambil seiring dengan pertumbuhan permintaan penumpang.

 

Sehubungan itu, industri penerbangan global telah komited untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Beliau menambah, kemampanan pada masa kini bukan lagi satu aspirasi alam sekitar, sebaliknya ia telah menjadi satu keperluan komersial dan sumber kelebihan daya saing.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Malaysia kini berada di kedudukan yang baik untuk menyokong peralihan global tersebut kerana memiliki asas yang kukuh seperti ekosistem aeroangkasa yang mantap, keupayaan kejuruteraan bertaraf dunia, industri penapisan dan biojisim yang matang serta kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang berkembang.

Simposium berkenaan yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan NAICO Malaysia berjaya menghimpunkan pakar, pembuat dasar, penyelidik, pengeluar bahan api, syarikat penerbangan serta profesional kemampanan dari seluruh Asia Pasifik.

Dalam ucapannya, Tze Tzin turut memberikan contoh krisis alam sekitar melibatkan industri kapas Kesatuan Soviet kira-kira 50 tahun lalu yang menyebabkan kemusnahan Laut Aral akibat bekalan air terputus.

Beliau mengingatkan bahawa insiden yang bermula sebagai kisah kebanggaan kemajuan itu akhirnya bertukar menjadi salah satu bencana alam sekitar terburuk dalam sejarah manusia.

“Sekiranya manusia terus mengejar pertumbuhan tanpa menjaga kelestarian planet, dunia akan berhadapan dengan bencana tersendiri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button