Ancaman bunuh, skuad Korea Selatan akan dikawal lebih 150 anggota polis di lapangan terbang
SEOUL – Kepulangan skuad Korea Selatan daripada kempen Piala Dunia 2026 akan dikawal rapi apabila lebih 150 anggota polis rusuhan ditempatkan di lapangan terbang.
Langkah keselamatan itu dibuat susulan ancaman bunuh yang diterima bekas ketua jurulatih negara itu, Hong Myung Bo selepas Korea Selatan gagal melepasi peringkat kumpulan, sekali gus menyaksikan Hong mengumumkan peletakan jawatan sebaik kempen pasukan itu berakhir.
Menurut Agensi Polis Metropolitan Incheon, seramai 160 anggota polis rusuhan bersama anggota polis lapangan terbang akan ditugaskan bagi mengawal ketibaan delegasi Piala Dunia Korea Selatan yang dijadual tiba pada Selasa.
Dalam usaha mempertingkat aspek keselamatan, seramai 25 pengawal keselamatan khas turut dikerahkan bagi membantu operasi kawalan di lokasi berkenaan.
Menurut polis, penempatan anggota keselamatan dibuat sebagai langkah pencegahan bagi memastikan proses ketibaan pasukan berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa sebarang gangguan.
“Kami memutuskan untuk menempatkan anggota bagi mengelakkan sebarang insiden keselamatan yang mungkin berlaku ketika proses ketibaan.
“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan menyalahi undang-undang termasuk membaling objek,” menurut kenyataan itu.
Baca juga : Presiden Korea Selatan arah siasatan kegagalan kempen Piala Dunia 2026
Pada kempen Piala Dunia kali ini, Korea Selatan membuka saingan dengan kemenangan ke atas Czechia sebelum tewas kepada tuan rumah bersama, Mexico dan seterusnya dikejutkan Afrika Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Keputusan itu menyaksikan mereka hanya mengumpul tiga mata, sekali gus gagal berada dalam kelompok lapan pasukan di tempat ketiga terbaik untuk meneruskan cabaran ke pusingan kalah mati.
Prestasi hambar tersebut turut memberi kesan kepada kedudukan Korea Selatan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila jatuh tujuh anak tangga ke tangga ke-32 dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















