MKDS perluas rangkaian klinik, buka cawangan di Putrajaya
PUTRAJAYA – Megaklinik Dr Suffian (MKDS) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju pengurusan obesiti perubatan di rantau ini apabila membuka cawangan baharu di IOI Resort City, di sini baru-baru ini.
Pengarah Urusan Eksekutifnya, Dr Suffian Sani Sayuti berkata, pembukaan cawangan itu mencerminkan komitmen MKDS untuk membawa perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, berpusatkan pesakit dan berasaskan data lebih dekat kepada komuniti.
“Di MKDS, kami percaya penjagaan kesihatan tidak seharusnya terhad kepada merawat penyakit semata-mata.
“Fokus kami adalah kepada pencegahan, intervensi awal dan rawatan perubatan diperibadikan supaya pesakit bukan sahaja menurunkan berat badan tetapi mencapai kesihatan metabolik yang lebih baik secara selamat, tersusun dan berpanjangan,” katanya selepas Majlis Perasmian MKDS Cawangan Putrajaya.
Beliau berkata, cawangan tersebut merupakan yang ketiga selepas pembukaan klinik sulung di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan cawangan kedua di Shah Alam.
MKDS Putrajaya menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk konsultasi perubatan am, pengurusan penyakit kronik, saringan kesihatan, penyelesaian kesihatan korporat serta program pengurusan berat badan perubatan di bawah pemantauan doktor yang menjadi antara teras utama perkhidmatannya.
Pada majlis sama, MKDS turut menerima pengiktirafan ASIA Records dan ASEAN Records susulan penyertaan 2,630 pesakit dalam program pengurusan berat badan perubatan di bawah pemantauan doktor sepanjang tahun lalu.

Majlis perasmiann pembukaan cawangan baharu Megaklinik Dr Suffian (MKDS) di IOI Resort City, Putrajaya disempurnakan Ahmad Zahid.
Mengulas lanjut, Dr Suffian berkata, MKDS Putrajaya yang berkeluasan kira-kira 914 meter persegi kini menjadi cawangan utama baharu MKDS dan akan menjadi model masa depan bagi konsep penjagaan kesihatan holistik berpusatkan pesakit.
Menurut beliau, cawangan itu menggabungkan konsultasi perubatan, perubatan pencegahan, rawatan diperibadikan, pendidikan kesihatan dan pemantauan klinikal di bawah satu bumbung.
“Cawangan ini dibangunkan bukan sekadar sebagai kemudahan klinikal, tetapi sebagai hab kesihatan yang menghubungkan kepakaran klinikal, teknologi pemantauan dan pemerkasaan pesakit.
“Matlamat kami adalah untuk membantu masyarakat memahami bahawa obesiti, diabetes, penyakit kardiovaskular dan penyakit berkaitan gaya hidup perlu ditangani lebih awal, bukan hanya selepas komplikasi berlaku,” katanya.
Dr Suffian berkata, kekuatan MKDS turut disokong oleh lapan doktor di sekitar Lembah Klang yang menerima latihan khusus dalam pengurusan obesiti perubatan, termasuk pendedahan berterusan menerusi latihan, persidangan dan program pendidikan klinikal di luar negara.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan rawatan obesiti tidak dilihat hanya sebagai usaha menurunkan berat badan, sebaliknya sebagai satu bidang perubatan yang memerlukan pemantauan doktor, penilaian risiko metabolik, pemeliharaan jisim otot dan intervensi gaya hidup.
“Obesiti bukan isu kosmetik dan ia adalah penyakit kronik yang berkait rapat dengan diabetes, penyakit jantung, hipertensi, masalah sendi, kesuburan dan kualiti hidup.
“Sebab itu kami melabur dalam latihan klinikal, teknologi pemantauan dan pembangunan pasukan doktor supaya setiap pesakit menerima rawatan yang lebih selamat, tersusun dan berasaskan bukti,” katanya.
Beliau berkata, MKDS kini sedang meneliti peluang memperluas rangkaian cawangannya ke seluruh Malaysia selaras dengan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan pengurusan berat badan perubatan, penjagaan penyakit kronik dan kesihatan pencegahan.
Tambah beliau, MKDS turut menyasarkan pembukaan cawangan antarabangsa menjelang 2028 dengan Dubai dikenal pasti sebagai antara lokasi berpotensi berdasarkan kedudukannya sebagai hab penjagaan kesihatan global yang mengikut standard antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















