Nagelsmann dihimpit kritikan menjelang aksi Jerman menentang Paraguay
BOSTON – Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menegaskan beliau tidak terkesan dengan tekanan luar meskipun pasukannya berdepan kritikan menjelang aksi penting menentang Paraguay dalam usaha memburu slot ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Menurut Nagelsmann, fokus utamanya ketika ini adalah terhadap persiapan pasukan, walaupun kekalahan 2-1 kepada Ecuador dalam aksi terakhir peringkat kumpulan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong.
“Ini hanya tentang pasukan dan kejayaan. Saya tidak rasa saya perlu membuktikan apa-apa selain membantu pemain saya dan menyediakan mereka untuk perlawanan,” katanya dalam sidang media, lapor Reuters.
Jerman sebelum ini mengalami penyingkiran di pusingan pertama pada Piala Dunia 2018 dan 2022, dan kelihatan berada di landasan terbaik untuk mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut sebelum kekalahan mengejut 2-1 kepada Ecuador dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Walau bagaimanapun, Jerman tetap mara ke pusingan kalah mati apabila muncul juara Kumpulan E selepas mencatat kemenangan ke atas Curacao dan Ivory Coast pada peringkat awal saingan.
Pengendali berusia 38 tahun itu sedang mengemudi kempen Piala Dunia pertamanya bersama Jerman sejak dilantik pada September 2023, dengan misi utama menjulang kejuaraan dunia.
Dalam perkembangan sama, Nagelsmann turut menerima kritikan berhubung keputusannya mengekalkan barisan kesebelasan utama yang sama sepanjang kejohanan, selain tidak menurunkan penyerang Deniz Undav dalam kesebelasan utama walaupun pemain itu telah meledak tiga gol serta mencatat dua bantuan jaringan sebagai pemain gantian.
Beliau bagaimanapun mempertahankan tindakannya itu serta terus memberi kepercayaan kepada beberapa tonggak utama seperti Jamal Musiala dan Florian Wirtz, meskipun kedua-duanya masih belum mencapai prestasi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













