Stephen Eustaquio lalui detik sukar sebelum jadi wira Kanada
LOS ANGELES – Penjaring tunggal perlawanan, Stephen Eustaquio muncul sebagai watak utama ketika Kanada melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 awal pagi tadi.
Dalam aksi yang disifatkan ketua jurulatih Jesse Marsch sebagai kemenangan penuh disiplin, Marsch berkata, Eustaquio bukan sahaja menghadiahkan gol kemenangan dramatik, malah menjadi simbol ketabahan pasukan.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap ketahanan mental pemain itu yang pernah berdepan kehilangan kedua-dua ibu bapa dalam tempoh dua tahun, namun tetap bangkit sebagai antara tonggak utama skuad Kanada.
Katanya, pengalaman hidup berkenaan menjadikan Eustaquio lebih matang serta memiliki jiwa kepimpinan yang kuat di atas padang.
“Saya tidak dapat memikirkan seorang yang lebih layak dalam kumpulan pemain yang luar biasa ini. Dia melalui banyak cabaran dalam hidupnya dan tetap menunjukkan karakter yang luar biasa,” katanya.
Mengulas mengenai corak permainan pasukannya, beliau berkata, skuad Kanada menampilkan aksi berstruktur dan berdisiplin sepanjang perlawanan, selain tidak mudah hilang fokus walaupun berdepan situasi permainan perlahan serta tekanan daripada lawan.
“Persembahan kami sangat kuat dan berdisiplin. Kami tidak banyak memberi ruang kepada lawan, dan walaupun penjaga gol cuba melambatkan permainan, kami tidak hilang kesabaran.
“Kami tahu penting untuk kekal teratur supaya Afrika Selatan tidak mendapat ruang di kawasan terbuka. Kami sebenarnya boleh menjadikan perlawanan lebih mudah jika menyempurnakan beberapa peluang lebih awal.
“Namun jaringan itu menjadikan kemenangan ini sangat dramatik dan saya percaya kesannya kepada Kanada serta inspirasi kepada rakyat akan sangat besar. Saya sangat bangga dengan pasukan ini,” katanya.
Beliau menambah, kemenangan tersebut turut menjadi mesej penting kepada peminat bola sepak Kanada bahawa pasukan itu mampu bersaing di pentas tertinggi dunia.
Katanya, fokus utama kini adalah untuk memperbaiki beberapa aspek permainan terutama dalam situasi serangan dan kawalan tempo menjelang aksi pusingan 16.
Dalam pada itu, Marsch turut mengakui pasukannya berdepan cabaran lebih besar selepas ini apabila dijangka menentang pasukan gergasi seperti Belanda atau Maghribi, namun menyifatkan pertembungan itu sebagai peluang terbaik untuk menguji kemampuan sebenar Kanada di pentas dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













