LRT3: PM umum tambang percuma selama sebulan
KLANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian tambang secara percuma kepada semua penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bermula esok hingga 31 Julai ini.
Anwar berkata, tambang percuma tersebut turut meliputi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang beroperasi di sepanjang Laluan Shah Alam.
“Bermula 29 Jun iaitu esok hingga 31 Julai tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan.
“Tapi kenapa agaknya laluan ini? Kerana laluan ini yang paling sesak, antara yang paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak, maknanya satu bebanan yang besar bagi rakyat.” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menaiki tren LRT3 dari stesen Seri Andalas ke stesen Johan Setia yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 minit sebelum menyempurnakan majlis pelancaran berkenaan.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan.
LRT3 Laluan Shah Alam dari Bandar Utama ke Johan Setia merangkumi laluan sepanjang 37.8 kilometer (km) kini siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












