POLITIK

Kekuatan BN terletak pada perpaduan jentera pelbagai kaum – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kekuatan sebenar gabungan itu terserlah melalui perpaduan jentera pelbagai kaum yang bergerak seiring dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, semangat itu dapat dilihat ketika beliau bersama lautan jentera BN mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pagi tadi.

“Alhamdulillah, melihat langkah yang seiring, kibaran panji yang megah serta semangat jentera pelbagai kaum yang hadir bersama, saya benar-benar merasakan bahawa asas perjuangan ini adalah kekuatan sebenar Barisan Nasional,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan selamat berkempen kepada semua calon dan jentera BN di seluruh Johor serta menyeru agar kempen dijalankan secara berhemah dan berteraskan pendekatan mesra rakyat.

“Kepada semua calon dan jentera Barisan Nasional di seluruh Negeri Johor, saya ucapkan selamat berkempen. Berkempenlah dengan sebaik-baiknya. Turunlah menyantuni rakyat dengan hati yang ikhlas dan teruslah bekerja sebagai satu pasukan.

“Insya-Allah, kita berusaha sehabis baik, kita berdoa, dan akhirnya kita bertawakal kepada Allah SWT agar diberikan kejayaan buat kita semua,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa semua calon yang bertanding perlu menjadikan pilihan raya sebagai medan demokrasi yang matang dengan mengamalkan kempen secara tertib serta saling menghormati.

“Kepada semua calon yang bertanding, bersama-samalah kita menjadikan pilihan raya ini sebagai medan demokrasi yang matang. Berkempenlah dengan tertib, saling menghormati dan memelihara keharmonian yang selama ini menjadi kekuatan Bangsa Johor.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan setiap langkah dan mengurniakan yang terbaik buat Johor Darul Ta’zim. Insya-Allah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button