Kerajaan akan bangunkan perumahan penjawat awam dengan kadar sewa rendah
DENGKIL – Kerajaan akan membangunkan perumahan bagi penjawat awam dengan kadar sewa lebih rendah sebagai usaha menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mendapati penjawat awam menghadapi masalah serius berkaitan sewa rumah ketika melakukan lawatan ke beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan, lapor BERNAMA.
“Kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam dengan sewa murah supaya dia dapat sewa dengan kadar yang murah.
“Jadi ia tidak membebankan keluarga. Ini langkah-langkah kita ambil, kita akan segerakan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun kerajaan telah menaikkan gaji penjawat awam, isu kadar sewa yang meningkat tetap ada di beberapa negeri berkenaan.
“Walaupun kita naikkan gaji mereka antara 15 (hingga) maksima 30 peratus, tetapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, tidak dapat menampung kadar sewa yang meningkat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, tanah milik kerajaan telah dikenal pasti untuk digunakan bagi pembangunan perumahan berkenaan.
“Sama ada untuk kastam atau polis, sebaik saja ada ruang, kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri menyantuni kira-kira 1,200 jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang diimamkan oleh Muhammad Asyraf Kamaluddin.- Bernama
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








