Bayi enam bulan meninggal dunia: Bapa kecewa pengasuh gagal segera bawa anak ke hospital
KUALA LUMPUR – Seorang bapa meluahkan rasa kecewa apabila pengasuh yang menjaga anak perempuannya berusia enam bulan didakwa gagal segera segera membawa bayi itu ke hospital selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri, sebelum bayi berkenaan disahkan meninggal dunia kelmarin.
Susulan kejadian itu, Tuan Mohamad Firdaus Tuan Muhamad Adnan, 30, membuat laporan polis di Balai Polis Pantai bagi memohon siasatan terperinci dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya, Tuan Faqihah.

Dalam laporannya, beliau mendakwa pengasuh memaklumkan bahawa bayi tersebut didapati tidak sedarkan diri sejak pukul 4.30 petang, namun tidak terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurutnya, beliau menerima panggilan daripada isterinya, Nur Afira Badrul Hisham pada pukul 5.05 petang yang memaklumkan keadaan anak mereka.
“Isteri saya yang berada di tempat kerja terus bergegas ke rumah pengasuh. Apabila tiba kira-kira pukul 5.15 petang, anak kami berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata, isterinya bersama pengasuh dan suami pengasuh menggunakan kereta miliknya kemudian membawa bayi itu ke Unit Kecemasan Hospital Pantai Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati bayi berkenaan telah meninggal dunia.
Menurut laporan itu, seorang pegawai perubatan mengesahkan kematian Tuan Faqihah pada pukul 6.08 petang hari yang sama.
Sehubungan itu, Tuan Mohamad Firdaus berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian anaknya.
“Saya hadir membuat laporan ini untuk memohon siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui punca kematian anak saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asistan Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan kes tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 oleh D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur,” katanya kepada Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

