TV AlHijrah rai ulang tahun ke-16, lancar AlHijrah Media Nexus di Cyberjaya
CYBERJAYA – TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai penyiar Islam negara apabila melangkah ke usia 16 tahun dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN), sebuah pusat sokongan operasi baharu di Cyberjaya yang dirangka bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan penyiaran organisasi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, ulang tahun ke-16 bukan sekadar meraikan pencapaian organisasi, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada agenda transformasi lebih menyeluruh bagi memastikan TV AlHijrah kekal relevan dalam landskap media yang sentiasa berubah.
Beliau berkata, penubuhan AMN merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kesinambungan operasi serta kesiapsiagaan penyiaran melalui infrastruktur sokongan yang lebih moden, selamat dan responsif, termasuk kemudahan studio mini bagi menyokong penerbitan kandungan.
“Selama 16 tahun, TV AlHijrah telah berkembang sebagai platform penyiaran yang membawa mesej ilmu, dakwah dan inspirasi kepada rakyat Malaysia. Pelancaran AMN ini memperkukuh kesinambungan operasi serta kesiapsiagaan penyiaran pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, pelancaran AMN disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Zulkifli Hassan, dan disaksikan Pengerusi TV AlHijrah, barisan Ahli Lembaga Pengarah serta warga kerja organisasi.
Mengulas lanjut, Namanzee berkata, kekuatan sesebuah organisasi media bukan hanya bergantung kepada kandungan, tetapi juga keupayaan sistem dan infrastruktur yang stabil serta berkesan dalam mendepani perkembangan teknologi.
Dalam pada itu, TV AlHijrah turut memperkenalkan Bincang Niaga 2026, inisiatif yang memberi peluang kepada usahawan, syarikat dan organisasi memanfaatkan ekosistem media TV AlHijrah bagi memperkukuh jenama dan memperluaskan capaian pasaran bermula 22 Jun 2026 hingga 31 Julai 2026.
Program itu menawarkan platform promosi merangkumi televisyen, digital, media sosial serta sokongan strategik daripada pasukan profesional TV AlHijrah, selain diskaun istimewa sehingga 40 peratus kepada peserta yang mendaftar dalam tempoh promosi.
Selain itu, TV AlHijrah turut menyiarkan pelbagai program khas sempena sambutan termasuk siaran Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun, Dakwah Live: Hijrah Ummah, Assalamualaikum Khas Awal Muharam, Dari Hati: Wanita, telemovie Sujudku serta drama pendek Bukan Kerana Itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








