Bekas juruwang pasar raya dipenjara dua tahun salahguna terminal TnG milik majikan
KUALA LUMPUR – Bekas juruwang sebuah pasar raya dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyalahgunakan mesin terminal tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) milik majikannya.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Atiqah Asyirah Fauzi, 29, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap 14 pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM568,200.
Mahkamah memerintahkan Nur Atiqah menjalani hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan, dengan semua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
Pada 18 Sept tahun lalu, Nur Atiqah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan-pertuduhan tersebut.
Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh didakwa curang menyalahgunakan mesin terminal pin TnG milik syarikat, dengan mengeluarkan nilai pin bernilai RM98,800.
Pin yang kemudian ditebus nilai ke dalam akaun TnG eWallet miliknya sendiri itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong, antara 7 Jan 2023 dan 9 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dengan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Dia juga berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan RM469,400 yang dipindahkan kepada akaun bank miliknya dan beberapa akaun TnG eWallet milik ahli keluarganya, di lokasi sama antara 1 Jan 2023 dan 6 Ogos 2024.
Semua 14 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil atau denda RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








