Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai ini menerusi pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi menggunakan mekanisme berasaskan MyKad.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu susulan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bintulu, Sarawak hari ini.
Menurut kementerian, pembaharuan berkenaan dilaksanakan menggunakan pendekatan sama seperti BUDI MADANI RON95 (BUD195), yang menyalurkan subsidi secara terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad.
“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.
“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu.
MOF berkata, langkah tersebut diambil ketika krisis Asia Barat terus memberi tekanan terhadap bekalan minyak global, sekali gus memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi.
Menurut kementerian, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah membuka ruang kepada ketirisan, termasuk penyeludupan ke luar negara.
Ketika ini, harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak ialah RM2.15 seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung mencecah RM4.37 seliter.
Dengan pelaksanaan mekanisme baharu itu, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan sistem di Semenanjung, sekali gus memastikan bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi.
Pada masa sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang menggunakan kenderaan diesel turut menikmati pengurangan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
MOF memaklumkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







