BERITA SEMASA

DBKL keluar 19 kompaun, sita 32 peralatan dalam Op Lens banteras ‘ulat foto’

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 19 notis kompaun dan menyita 32 peralatan dalam operasi bersepadu membanteras kegiatan jurufoto tanpa kebenaran atau ‘ulat foto’ di sekitar kawasan KLCC, termasuk Pintasan Saloma, Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee, malam tadi.

Operasi dikenali sebagai Op Lens: Ulat Foto itu dilaksanakan bermula pukul 9 malam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen atau kebenaran di kawasan awam.

“DBKL mengeluarkan sejumlah 19 notis kompaun terhadap individu warga negara yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran serta membuat 32 sitaan ke atas pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit, dengan 13 daripadanya membabitkan warga negara asing.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,” kata DBKL.

Sementara itu, PDRM dan JPN menjalankan pemeriksaan terhadap 32 individu bagi mengesahkan dokumen pengenalan diri mengikut peruntukan Akta Pendaftaran Negara 1959.

Menurut DBKL, operasi berkenaan bertujuan memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang, di samping mengurangkan risiko keselamatan, gangguan kepada pengunjung serta halangan terhadap kelancaran lalu lintas.

Peralatan yang disita, termasuk telefon bimbit, lampu, gimbal dan kelengkapan fotografi lain, telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi lanjut.

DBKL berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa, selain menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas berkaitan aktiviti tersebut menerusi saluran rasmi agensi itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button