DEWASA ini, dunia digital dan media sosial bukan lagi sekadar pelengkap kehidupan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.
Telefon pintar pula seolah-olah menjadi ‘jantung kedua’ kerana hampir setiap urusan harian bergantung kepada peranti tersebut.
Sebaik sahaja bangun tidur, ada yang terus mencapai telefon untuk melihat notifikasi yang masuk.
Ketika makan, ketika belajar, malah sebelum tidur, media sosial menjadi rutin harian yang sukar dipisahkan daripada kehidupan masyarakat moden.
Dalam sehari, beribu-ribu mesej dihantar dan beribu-ribu hantaran dimuat naik ke dunia digital.
Gambar percutian, pendapat peribadi, video harian, pesanan suara dan pelbagai bentuk kandungan lain dikongsikan tanpa henti.

Namun begitu, di sebalik kemudahan dan kebebasan yang ditawarkan oleh teknologi, ramai yang tidak menyedari bahawa setiap tindakan yang dilakukan di internet sebenarnya meninggalkan jejak digital.
Jejak digital merujuk kepada rekod atau kesan yang ditinggalkan hasil daripada aktiviti seseorang dalam talian.
Sama ada seseorang memuat naik gambar, memberi komen, berkongsi hantaran atau sekadar menekan butang suka, semuanya boleh direkodkan dan berpotensi untuk dijejaki semula.
Apa yang sering disalah faham adalah tanggapan bahawa sesuatu kandungan yang dipadam akan hilang sepenuhnya daripada internet.
Hakikatnya, dunia digital tidak berfungsi sedemikian.
Dalam beberapa saat sahaja, kandungan yang dimuat naik boleh dirakam layar (screen record), dimuat turun atau disebarkan semula oleh pihak lain.
Walaupun pemilik asal telah memadam kandungan tersebut, salinannya mungkin masih wujud di tempat lain.
Oleh sebab itu, ramai yang menyifatkan internet sebagai ruang yang mempunyai ‘ingatan yang panjang’.
Kewujudan media sosial sememangnya memberi banyak manfaat kepada masyarakat.
Antaranya memudahkan komunikasi, mempercepat penyebaran maklumat dan membuka peluang kepada perniagaan serta pendidikan.
Namun, apabila digunakan tanpa pertimbangan dan rasa tanggungjawab, platform yang sama boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial.
Mengejar perhatian dalam media sosial semakin ketara terutama dalam kalangan generasi muda.
Ada yang sanggup berkongsi hal peribadi secara berlebihan semata-mata untuk mendapatkan jumlah tontonan, tanda suka atau pengikut yang tinggi.
Dalam keadaan tertentu, terdapat juga individu yang memuat naik kandungan tanpa memikirkan implikasi kepada diri sendiri atau orang lain.
Lebih membimbangkan apabila sesetengah pengguna menganggap dunia maya sebagai ruang bebas tanpa sempadan.

Mereka beranggapan bahawa identiti yang tersembunyi di sebalik akaun media sosial membolehkan mereka berkata apa sahaja tanpa akibat.
Hakikatnya, tindakan dalam talian tetap mempunyai tanggungjawab yang sama seperti tindakan di dunia nyata.
Terdapat banyak kes yang menunjukkan bagaimana satu hantaran mampu mengubah kehidupan seseorang.
Ada individu yang kehilangan peluang pekerjaan apabila majikan menemui sejarah kandungan media sosial yang tidak profesional.
Ada yang berdepan keretakan hubungan keluarga dan persahabatan akibat penyebaran maklumat peribadi.
Malah, terdapat juga kes yang menyebabkan seseorang mengalami tekanan emosi dan gangguan kesihatan mental kerana menjadi sasaran kecaman awam.
Selain itu, penyebaran maklumat palsu atau fitnah melalui media sosial turut menjadi cabaran besar dalam era digital.
Hanya dengan menekan butang kongsi, seseorang boleh menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kepada ratusan atau ribuan pengguna lain.
Akibatnya, reputasi individu tertentu boleh tercemar dan ketenteraman masyarakat boleh terganggu.
Perbuatan menyebarkan kandungan sensitif, menghina individu lain atau menghasilkan kandungan yang mengelirukan bukan sahaja memberi kesan dari sudut sosial, malah boleh membawa implikasi undang-undang.
Ramai yang tidak menyedari bahawa penggunaan media sosial di Malaysia tertakluk kepada peraturan dan akta tertentu.
Salah satu undang-undang yang berkaitan ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta ini diwujudkan bagi mengawal selia industri komunikasi dan multimedia serta memastikan penggunaan kemudahan komunikasi dilakukan secara bertanggungjawab.
Dalam konteks media sosial, akta ini sering dikaitkan dengan kandungan yang disebarkan melalui rangkaian komunikasi.

Pengguna yang memuat naik atau menyebarkan kandungan yang bersifat mengancam, palsu, jelik atau bertujuan mengganggu pihak lain boleh berdepan tindakan berdasarkan peruntukan yang berkaitan dalam akta tersebut.
Walaupun ramai melihat akta sebagai bentuk kawalan, hakikatnya kewujudan undang-undang bertujuan melindungi pengguna dan memastikan ruang digital kekal selamat untuk semua.
Kebebasan bersuara yang diamalkan tidak bermaksud seseorang bebas menyebarkan apa sahaja tanpa mengambil kira kesannya kepada masyarakat.
Perkara ini menunjukkan bahawa literasi digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan.
Pengguna internet perlu mempunyai kesedaran untuk menilai maklumat sebelum berkongsi, memahami batas privasi dan mengawal tingkah laku dalam talian.
Sebelum memuat naik sesuatu kandungan, terdapat beberapa persoalan yang boleh dijadikan panduan.
Adakah kandungan ini benar? Adakah ia boleh menyinggung atau mencederakan orang lain? Adakah saya sanggup jika kandungan ini dilihat oleh keluarga, pensyarah, majikan atau orang ramai pada masa hadapan?
Persoalan-persoalan kecil ini mampu mengelakkan kesan besar pada kemudian hari.
Di samping itu, ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat turut memainkan peranan penting dalam membentuk budaya penggunaan media sosial yang sihat.
Pendidikan mengenai etika digital perlu diterapkan sejak usia muda supaya generasi akan datang memahami bahawa teknologi bukan sekadar alat hiburan, tetapi ruang yang memerlukan disiplin dan tanggungjawab.
Kita tidak dapat menolak bahawa dunia digital akan terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
Namun, perkembangan teknologi seharusnya berjalan seiring dengan kesedaran dan etika pengguna.
Akhir sekali, setiap perkongsian yang dibuat di internet membawa kesan yang mungkin tidak dapat dilihat serta-merta.
Dalam dunia digital, satu klik mungkin hanya mengambil masa beberapa saat, tetapi kesannya boleh kekal bertahun-tahun.
Oleh itu, sebelum jari menekan butang ‘hantar’ atau ‘kongsi’, fikirkan dahulu sama ada tindakan tersebut memberi manfaat atau hanya mengundang penyesalan.
Kerana pada akhirnya, maruah yang tergadai mungkin bermula hanya kerana satu sentuhan jari.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








