Anggota polis didakwa miliki dadah di lokap mahkamah
KOTA BHARU – Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine di lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu, minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Fadhirul Musa, 38, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Rais Imran Hamid sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 19.8 gram di lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada pukul 8.29 pagi, 8 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrizal Hamzi dan Muhammad Husni Mubarak Ghazali.
Terdahulu, Muhamad Nadzir mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mohd Azrizal dalam rayuannya memohon ikat jamin minimum memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat orang anak masih belajar.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








