BN gerak seluruh jentera parti hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan
JOHOR BAHRU – Seluruh jentera parti Barisan Nasional (BN) akan digerakkan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, kepimpinan BN sepakat bahawa segala kekuatan parti perlu digembleng bagi memastikan kemenangan pada kedua-dua pilihan raya negeri berkenaan, lapor Kosmo.
“PRN Johor dan Negeri Sembilan menjadi fokus utama BN dengan seluruh jentera parti akan digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan.
“Mesyuarat turut menzahirkan iltizam dan kesepakatan kepimpinan BN untuk memperkukuhkan parti, menjamin kestabilan politik negara serta merangka strategi terbaik menghadapi pilihan raya negeri,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan BN yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO Johor, di sini malam tadi.
Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Zamry seterusnya berkata, BN juga akan terus memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan parti komponen dan ‘Friends of BN’ bagi memastikan kestabilan politik serta membina pentadbiran yang terus diyakini rakyat.
Selain memperkukuh persiapan pilihan raya, BN turut beriltizam memperkasakan agenda BN ‘Direct Membership’ bagi menarik lebih ramai golongan profesional, anak muda dan masyarakat umum menyertai gabungan tersebut.
Tambah Menteri Pendidikan Tinggi itu, BN juga kekal komited mendukung kerajaan demi memastikan kestabilan negara, keyakinan pelabur dan kelangsungan agenda pembangunan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa
Dalam pada itu, beliau menambah, mesyuarat turut memutuskan BN akan menggunakan logo dacing pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat semalam, menetapkan PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara berasingan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai.
Katanya, bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















