Peniaga kerugian RM90,000 kedai jual beg mewah dipecah masuk
SEPANG – Seorang peniaga wanita kerugian dianggarkan RM90,000 apabila premis menjual beg mewah miliknya di sebuah pusat beli belah di Cyberjaya dipecah masuk, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada pemilik premis berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Kejadian itu melibatkan kehilangan sebanyak 25 unit beg tangan mewah pelbagai jenama dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM90,000.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tiga suspek yang bertopeng dan berpakaian serba hitam memasuki premis tersebut sebelum menggeledah dan mengambil beg tangan yang dipamerkan di rak pameran kedai.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek dipercayai menceroboh masuk ke dalam premis dengan cara mengumpil tingkap tandas,” kata Norhizam dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan beserta denda.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan yang menunjukkan beberapa individu sedang menggeledah barangan di rak pameran kedai berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Faizal Rashid @ Jaafar di talian 013-2222652,” kata Norhizam lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








