Difitnah sorok Jaslinda, 50 tok batin buat laporan polis
TAPAH – Kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta membuat laporan polis hari ini susulan tuduhan ke atas tok batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu yang beliau menyembunyikan pendaki wanita, Jaslinda Saludin sepanjang tempoh kehilangan wanita itu, baru-baru ini.
Tok Batin KOA Lata Kinjang, Rani a/l Bah Ulin berkata, laporan itu dibuat susulan penyebaran kandungan video oleh seorang pengguna media sosial yang berunsur fitnah serta mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga mencemarkan nama baik Mohd Asmmadi Abdullah, serta institusi kebatinan Orang Asli.
Rani berkata, pihaknya kesal dengan tuduhan kononnya Mohd Asmmadi sengaja menyembunyikan Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum ditemukan penduduk Orang Asli di kawasan berdekatan KOA Lubuk Gaharu.
“Dakwaan itu tidak berasas dan amat mengguris perasaan masyarakat Orang Asli seolah-olah dianggap kami ini masyarakat yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Tapah hari ini.
“Kami melihatnya sebagai satu penghinaan bukan sahaja terhadap Tok Batin Asmmadi tetapi juga kepada seluruh institusi kebatinan, yang selama ini berperanan membantu masyarakat tanpa mengira kaum, terutama ketika berlaku kecemasan.”
Terdahulu, video berkenaan yang menjadi tular di TikTok mendakwa, Jaslinda telah ‘disimpan’ oleh tok batin selama dua minggu dan jika perkara terbabit tidak tular, tok batin itu mungkin akan berkahwin dengan Jaslinda.
Sementara itu, wakil belia Orang Asli Eris Joshan a/l Chew Ho Beng, 22, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit yang jelas menjejaskan imej tok batin yang terlibat dalam operasi pencarian, malah memberikan gambaran buruk terhadap seluruh masyarakat Orang Asli di negara ini.
“Orang Asli juga mempunyai maruah yang perlu dihormati kerana apa yang dianggap jenaka oleh sesetengah pihak boleh menjadi satu penghinaan yang memberikan kesan kepada seluruh komuniti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















