Krisis Negeri Sembilan: Cukuplah jadikan UMNO kambing hitam – Mustapha
SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menolak dakwaan bahawa parti itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap krisis politik yang melanda negeri tersebut sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor, berkata pelbagai pihak cuba meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada UMNO, sedangkan punca sebenar krisis berakar daripada kegagalan Menteri Besar menangani isu yang timbul sehingga mencetuskan perdebatan terbuka mengenai kedudukan institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan pemerintah bersama (Co-Ruler).
Menurut beliau, sebelum 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar pada 27 April lalu, pelbagai pandangan dan nasihat telah dikemukakan agar langkah segera diambil bagi mengelakkan kemelut berkenaan daripada menjadi lebih serius.
“Malangnya segala peringatan yang diberikan tidak diendahkan sehingga krisis ini berlarutan dan menjejaskan imej institusi diraja, Undang serta adat perpatih yang menjadi tunjang Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa sepanjang lebih enam dekad UMNO mentadbir negeri itu, isu berkaitan adat pernah berlaku, namun tidak pernah mencapai tahap yang disifatkan sebagai memalukan institusi negeri seperti yang berlaku ketika ini.
Mengulas keputusan UMNO untuk bersedia bertanding di kesemua 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Mustapha berkata, langkah tersebut bukan bertujuan menunjukkan keangkuhan politik, sebaliknya dibuat selepas pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi DUN.
Katanya, UMNO mengambil pendirian untuk menawarkan alternatif kepada rakyat dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyenaraikan beberapa perkara yang menurutnya tidak boleh dikaitkan dengan UMNO, termasuk dakwaan bahawa Menteri Besar telah disabdakan sebagai berbohong oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, selain kenyataan bahawa Menteri Besar tidak lagi layak meneruskan jawatan tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa tuntutan mendapatkan minit Dewan Keadilan dan Undang melalui saluran mahkamah bukan dibuat oleh UMNO, sebaliknya oleh ahli dewan berkenaan sendiri.
Selain itu, katanya, keputusan pembubaran DUN yang diumumkan pada 4 Jun dan berkuat kuasa pada 5 Jun lalu juga dibuat oleh Menteri Besar selepas sebelum ini memaklumkan bahawa pembubaran hanya akan dipertimbangkan seawal Oktober 2026.
Mustapha turut mendakwa tiada sebarang pertemuan rasmi atau rundingan serius diadakan oleh Menteri Besar dengan 14 ADUN UMNO sepanjang tempoh krisis bagi membincangkan langkah penyelesaian yang boleh meredakan keadaan.
“UMNO tidak lari daripada tanggungjawab. Kami mengambil pendirian berdasarkan prinsip, mempertahankan maruah institusi negeri serta memastikan kestabilan pentadbiran sentiasa menjadi keutamaan.
“Cukuplah menjadikan UMNO sebagai kambing hitam bagi setiap kegagalan pihak lain,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








