Howard Lee selar Onn Hafiz, ingatkan jangan meninggi diri
IPOH – Prinsip dalam politik tidak seharusnya dijadikan alat untuk meninggikan diri atau merendahkan pihak lain, sebaliknya perlu dizahirkan dengan sikap rendah hati, berhemah serta menghormati semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee berkata, budaya masyarakat Melayu sendiri menekankan nilai kesederhanaan melalui peribahasa “ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”, selain mengambil iktibar daripada sejarah mengenai kesan sikap angkuh dalam kehidupan dan politik.
“Prinsip yang tulen tidak perlu dijadikan topeng untuk meninggikan diri atau merendahkan orang lain. Keangkuhan bukan prinsip,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Menurut beliau, dalam landskap politik semasa yang melibatkan kerjasama pelbagai parti, setiap pihak perlu lebih matang dalam menilai sesuatu isu agar tidak menjejaskan keharmonian pentadbiran negara.
Dalam hantaran sama, Howard turut mempersoalkan beberapa naratif politik semasa yang dikaitkan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, khususnya berkaitan isu kerjasama politik dalam kerajaan negeri dan persekutuan.
Beliau turut menyentuh peranan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dalam konteks pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang turut melibatkan kerjasama antara parti-parti utama.
Howard juga merujuk kepada hubungan politik antara BN, UMNO dan DAP yang menurutnya sering dijadikan bahan perdebatan oleh pelbagai pihak, walaupun kerjasama tersebut menjadi asas kepada kestabilan kerajaan hari ini.
“Jika kerjasama politik dianggap satu kesalahan, bagaimana pula dengan realiti kerjasama dalam pentadbiran dan pilihan raya yang melibatkan pelbagai parti?” soal beliau lagi.
Howard berkata, pendekatan saling menghormati antara parti dilihat penting bagi mengelakkan pertembungan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Politik memerlukan kematangan dalam membuat penilaian serta mengelakkan pendekatan yang bersifat serangan peribadi atau percanggahan prinsip yang tidak sihat,” katanya lagi.
Howard turut berkata, negara memerlukan kepimpinan yang konsisten dan berwibawa, bukan sekadar retorik politik yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan semangat kerjasama BN–PH dalam Kerajaan Perpaduan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








