BERITA SEMASAPOLITIK

BN Johor tolak kerjasama dengan DAP jika bentuk kerajaan negeri semula

ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan gabungan itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP sekiranya sekali lagi diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pendirian tersebut merupakan ketetapan politik BN di negeri itu dan bukan didorong sentimen emosi atau perkauman.

Menurut beliau, BN Johor tetap berpegang kepada prinsip sendiri dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri pada masa akan datang.

“Jika rakyat terus memberikan mandat kepada BN, kita tidak akan bersama DAP dalam kerajaan negeri.

“Ini adalah pendirian politik BN Johor dan saya sendiri lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Educity, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, Onn Hafiz berkata, pelbagai dakwaan yang tular di media sosial termasuk kononnya BN akan bekerjasama dengan DAP serta dakwaan kerajaan negeri tidak stabil perlu dijawab berasaskan fakta.

Katanya, rakyat Johor kini semakin matang dan mampu menilai maklumat yang sahih berbanding fitnah serta persepsi yang sengaja dimainkan pihak tertentu.

“Rakyat Johor tahu membezakan antara fakta dan fitnah. Sebab itu kita perlu terus memberikan penjelasan yang tepat kepada masyarakat,” ujarnya.

Mengulas mengenai keputusan mengadakan PRN lebih awal, beliau menjelaskan langkah itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk jadual sosial dan ekonomi yang padat pada tahun hadapan.

Menurutnya, beberapa perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Aidilfitri, selain musim tengkujuh serta ketidaktentuan geopolitik global, boleh menimbulkan cabaran besar kepada pengurusan pilihan raya jika ia diadakan pada waktu yang kurang sesuai.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa seluruh jentera BN memperhebatkan gerak kerja di peringkat akar umbi, khususnya dalam mendekati pengundi muda serta menjelaskan pencapaian kerajaan negeri supaya terus mendapat keyakinan rakyat

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button