BERITA SEMASA

Remaja hamil luar nikah tidak boleh tercicir pendidikan – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Remaja yang hamil luar nikah tidak seharusnya dipinggirkan atau tercicir daripada sistem pendidikan, sebaliknya perlu diberikan sokongan menyeluruh termasuk peluang kembali ke sekolah dan menduduki peperiksaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keutamaan dalam menangani kes kehamilan luar nikah melibatkan remaja adalah memastikan keselamatan ibu dan bayi, di samping menyediakan sistem sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan serta mendapat pendidikan.

Beliau yang pernah mengendalikan kes-kes melibatkan remaja hamil menerusi rumah perlindungan Bayt Al-Rahmah menegaskan, pendekatan menghukum atau meminggirkan golongan berkenaan bukanlah jalan penyelesaian terbaik.

“Pendidikan adalah kunci untuk keluar daripada kitaran keganasan dan kembali membina kehidupan.

“Sebab itu saya sangat tegas bahawa mereka perlu kembali menyambung persekolahan selepas tempoh berpantang.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) biasanya akan membantu anak-anak ini kembali ke sekolah dan memastikan mereka dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa keciciran pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, sebaik sahaja seseorang remaja diketahui hamil, keluarga perlu segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik atau pusat kesihatan kerajaan bagi memastikan kandungan dan kesihatan ibu dipantau dengan baik.

Katanya, sokongan keluarga juga amat penting walaupun ibu bapa lazimnya berdepan pelbagai emosi seperti kecewa, marah dan malu apabila berhadapan situasi tersebut.

Beliau turut menggesa laporan polis dibuat sekiranya kes melibatkan remaja bawah umur, tanpa mengira sama ada hubungan itu berlaku secara suka sama suka atau sebaliknya.

“Jika anak bawah umur, laporan polis mesti dibuat dan tidak boleh ditarik balik.

“Polis mempunyai unit khas yang memberi tumpuan kepada kes-kes melibatkan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Fadhlina turut menekankan kepentingan mendapatkan khidmat kaunseling sejak awal bagi membantu remaja terlibat menghadapi tekanan emosi serta membolehkan tindakan susulan yang bersesuaian diambil.

Menurutnya, tempoh selepas kelahiran juga perlu diberikan perhatian kerana ibu muda berisiko mengalami kemurungan selepas bersalin jika tidak menerima sokongan yang mencukupi.

Beliau berkata, masyarakat perlu mengutamakan pendekatan pencegahan dan sokongan dalam menangani isu kehamilan luar nikah serta mengelakkan sikap menghukum yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Kita boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak jika bertindak lebih awal, percaya kepada sistem yang ada dan membina rangkaian sokongan masyarakat yang kuat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button