Harga RON97 turun 30 sen, RON95 tanpa subsidi serta diesel turun 20 sen
PUTRAJAYA – Harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi serta diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing diturunkan bagi tempoh 4 hingga 10 Jun.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), harga RON97 turun sebanyak 30 sen seliter daripada RM4.65 kepada RM4.35, manakala RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.72 seliter, turun 20 sen daripada RM3.92.
Harga diesel di Semenanjung Malaysia turut diturunkan sebanyak 20 sen seliter daripada RM4.87 kepada RM4.67.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
“Namun begitu, penurunan harga runcit minggu ini tidak menandakan pasaran petroleum global kembali stabil.
“Sebaliknya, menjelang 100 hari konflik dan perkembangan terkini di Asia Barat, masih terdapat risiko tinggi harga minyak mentah
dan produk petroleum kekal tinggi dalam jangka sederhana,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Kementerian Kewangan berkata, ketika ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat.
“Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan tersebut masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan,” katanya.
Jelasnya, jika konflik terus berlarutan, risiko penyusutan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu kepada harga minyak mentah serta produk petroleum dalam tempoh mendatang.
“Di sebalik kekangan bekalan global, Kerajaan Madani terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
“Kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu keterjaminan bekalan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








