Penyeludup tinggalkan ganja lebih 1kg di sempadan selepas sedar kehadiran PGA
RANTAU PANJANG – Cubaan menyeludup dadah melalui laluan tidak sah di sempadan negara gagal apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan satu bungkusan mengandungi ganja mampat yang ditinggalkan berhampiran pagar keselamatan di Pengkalan Haram Kubur, malam tadi.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu dibuat kira-kira pukul 11.45 malam ketika anggota yang bertugas menjalankan rondaan pemantauan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan di kawasan semak berhampiran pagar keselamatan di pengkalan haram tersebut menemukan satu bungkusan plastik putih dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi satu ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 1.155 kilogram dengan anggaran nilai RM3,385.
“Rampasan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan, namun dipercayai penyeludup bertindak meninggalkan barang kes bagi mengelakkan ditahan selepas menyedari kehadiran anggota keselamatan yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Rondaan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada sebarang pembolosan dan aktiviti penyeludupan berlaku di sempadan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








