BERITA SEMASA

Perolehan peluru berpandu NSM, AS jamin beri pertimbangan

SINGAPURA – Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan akan mempertimbangkan penjualan Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu disuarakan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dalam pertemuan dua hala yang diadakan di sela-sela Dialog Shangri-La (SLD) IISS ke-23, di sini, yang berlangsung sejak semalam hingga esok.

Langkah itu, katanya, sebagai penyelesaian kepada isu yang dihadapi negara berhubung perolehan sistem persenjataan itu dari Norway.

“Kita telah meminta pandangan AS bagi membantu mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi, kerana seperti yang sedia maklum, terdapat sebuah syarikat AS yang mengeluarkan misil yang sama seperti Norway.

“Kita telah bertanya sama ada AS bersedia membenarkan penjualan misil itu kepada kita bagi menangani masalah yang dihadapi,” katanya kepada BERNAMA, semalam.

Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitannya atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.

Dialog Shangri-La IISS 2026 yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Hotel Shangri-La Singapura, menghimpunkan menteri pertahanan, ketua angkatan tentera dan diplomat dari puluhan negara bagi membincangkan isu keselamatan dan pertahanan serantau serta global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button