Kematian remaja sesat di hutan diklasifikasi sebagai mati mengejut
HULU SELANGOR – Kematian remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul yang sebelum ini dilaporkan sesat di Bukit Changkat Asa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, jasad remaja itu ditemukan kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pukul 11.58 pagi tadi.
“Pada jam 1.08 tengah hari, jasad mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian.
“Siasatan diklasifikasi sebagai SDR dan jasad dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, jasad mangsa ditemukan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) di kawasan landai dalam keadaan terlentang tanpa kesan kecederaan yang dapat dilihat serta sempurna tanpa kesan serangan haiwan liar.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, mangsa ditemukan kira-kira enam meter dari sebuah denai iaitu laluan ke kawasan kebun, dengan kemungkinan remaja itu telah tersasar dari laluan asal lalu tersesat.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lalu ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








