Amirudin ambil alih peranan Pengarah Pilihan Raya PKR
PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai pengarah pilihan raya parti bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menggantikan Timbalan Presiden parti, Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada penyelarasan strategik parti dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutnya, Nurul Izzah akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan keupayaan jentera pilihan raya serta memperkemaskan aliran kerja parti.
“Dalam fasa seterusnya ini, Nurul Izzah akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan keupayaan jentera pilihan raya PKR serta aliran kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang berlangsung semalam.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin turut dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya parti.
Azman akan dibantu bekas calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi bagi memperkukuh penyelarasan strategi dan operasi lapangan pilihan raya.
Fuziah berkata, penyusunan semula itu juga merupakan kesinambungan kepada usaha memperkukuh struktur pilihan raya parti termasuk penyelarasan antara negeri dan cabang serta penggunaan sistem dan teknologi melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS.
Tambah beliau, PKR kini memberi fokus kepada pengukuhan akar umbi dan memastikan seluruh jentera parti bergerak secara lebih tersusun menjelang pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKR menerima 5,936 keanggotaan baharu sepanjang tempoh April hingga Mei lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







