BERITA SEMASA

Akta 588 cukup kuat kekang kandungan berbahaya – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dianggap relevan dan mencukupi untuk membendung kandungan media sosial yang berbahaya, terutamanya isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cabaran utama ketika ini adalah menyekat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencipta akaun media sosial palsu untuk menyebarkan kandungan sensitif, sebelum bertindak memadamkannya semula bagi mengelak dikesan.

“Kita nampak banyak akaun palsu dihasilkan, dicipta untuk terutamanya menghasilkan kandungan 3R. Setelah dihasilkan kandungan dan mereka sebarkan, akaun-akaun itu ditutup.

“Jadi ada elemen jenayah di situ, elemen yang baling batu sembunyi tangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Belia Kreatif Komuniti MADANI sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas peningkatan kes kandungan sensitif dan penyalahgunaan platform media sosial.

Selain memberi perhatian terhadap kandungan sensitif, Fahmi berkata pihak berkuasa turut memantau kewujudan akaun palsu yang menggunakan imej dan nama Raja-raja Melayu serta kerabat diraja.

Kata beliau, pihaknya mengesan kewujudan berleluasa akaun media sosial yang dicipta untuk melakukan kerja penyamaran.

Sehubungan itu, beliau menekankan platform pengendali media sosial turut bersama memainkan tanggungjawab untuk membanteras kewujudan akaun palsu dan penyamar daripada terus berleluasa.

Tambah Fahmi, pada 22 Mei lalu juga dua kod khusus diterbitkan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dalam talian selain menetapkan beberapa langkah yang perlu dipatuhi platform media sosial.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut meneliti tahap kerjasama syarikat pengendali platform media sosial dalam menangani isu berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button