BERITA SEMASA

OKU pilih pulangkan wang ditemui, takut jawab di akhirat

MELAKA – Kejujuran seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) fizikal yang memilih memulangkan wang tunai ditemuinya mendapat perhatian ramai.

Malah, dia dilaporkan sanggup menunggu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem untuk menyerahkan sendiri wang berkenaan sebelum ia diserahkan kepada polis, baru-baru ini.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Azlan itu berkata, dia berasa menggigil dan panik sebaik menemukan wang berjumlah besar tersebut sehingga terus teringat untuk mendapatkan bantuan Mohd Noor Helmy.

“Saya menggigil bila jumpa duit sebanyak itu, jadi tak tentu arah dan terus saya teringat YB. Jadi saya ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong untuk serahkannya.

“Nak pergi balai polis saya takut sebab tak pandai nak cakap macam mana, lagi pula banyak duit itu. Nak buat minum pun saya takut apa nak jawab di ‘sana’ nanti,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Difahamkan, Azlan turut setia menunggu Mohd Noor Helmy yang ketika itu menghadiri program rasmi sebelum menyerahkan sendiri wang berkenaan.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, beliau tersentuh dengan tindakan Azlan yang tetap memilih jalan jujur walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Dia tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk mengambil hak orang lain.

“Sifat sebegini sangat jarang ditemui dan saya amat menghargai kejujuran abang Azlan walaupun diuji dengan keadaan OKU fizikal,” katanya.

Menurut beliau, wang tunai itu kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Kandang bagi membantu mengesan pemilik sebenar.

Katanya, individu yang kehilangan wang dalam jumlah besar boleh hadir ke balai polis berkenaan untuk membuat semakan dengan mengemukakan maklumat berkaitan termasuk jumlah wang, lokasi serta waktu kehilangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button