Dua lelaki maut tertimbus runtuhan tebing ketika dipercayai melombong emas
JELI – Dua lelaki ditemukan maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing tanah setinggi kira-kira dua meter ketika dipercayai menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong di sini pada malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, seorang lagi mangsa dilaporkan terselamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat mangsa tertimbus tanah sebelum sembilan anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut beliau, operasi berdepan kesukaran apabila jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan ladang disebabkan laluan sempit dan mencabar.
“Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux untuk masuk ke lokasi kejadian.
“Operasi pencarian dimulakan pada jam 9.20 malam dan didapati terdapat dua mangsa tertimbus akibat runtuhan tebing tanah setinggi dua meter di kawasan anak sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa pertama berjaya ditemukan pada jam 9.25 malam manakala mangsa kedua ditemukan pada jam 11.18 malam.
“Kedua-dua mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








