POLITIK

Speaker sahkan kerusi Parlimen Pandan, Setiawangsa dikosongkan

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa disahkan kosong selepas Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengemukakan peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau sudah menerima notis peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan iaitu Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi.

Johari menambah, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Rakyat.

“Sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan SPR,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh turut telah telah menyerahkan notis penamatan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi kepada Johari Abdul, hari ini.

Fuziah berkata, notis itu diserahkan susulan pengisytiharan keluar parti yang dibuat mereka berdua, Ahad lepas.

Dalam satu kenyataan, PKR berpendirian bahawa tindakan meninggalkan parti melalui pengisytiharan mereka itu menyebabkan Perkara 9.1(c) Perlembagaan parti adalah terpakai.

“PKR juga berpendirian bahawa tindakan tersebut mempunyai langsung di bawah Perkara 49A (1) (a) (ii) Perlembagaan Persekutuan.

“PKR menyerahkan keputusan mengenai status mereka berkenaan Perkara 49A (1)(c) dan juga tindakan lanjut kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button