BERITA SEMASA

Fitnah status tanah Cheras: Hannah nafi terlibat, minta polis siasat

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh menafikan dakwaan mengaitkan beliau dengan pengumuman pertukaran status tanah daripada pajakan kepada pegangan bebas di Taman Segar, Cheras baru-baru ini.

Beliau menyifatkan tuduhan yang ditularkan oleh individu dikenali sebagai Dr Zahara dan Che GuBard itu sebagai fitnah jahat serta pembohongan yang sengaja direka untuk mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, kehadiran beliau ke Taman Segar, Cheras sebelum ini hanyalah bagi menghadiri sidang media berkaitan pewartaan padang awam dan bukannya menyentuh soal pertukaran status tanah.

“Ini semua fitnah kerana ketika kami hadir di Taman Segar Cheras untuk sidang media, ia adalah berkenaan pewartaan padang untuk kegunaan orang awam.

“Saya langsung tidak terlibat dalam jawatankuasa tanah bagi urusan menukar status leasehold kepada freehold, jadi dakwaan itu jelas satu fitnah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, bukti digital termasuk rakaman Facebook Live, kenyataan media rasmi serta laporan berita yang diterbitkan pada hari kejadian membuktikan tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai pertukaran status tanah berkenaan.

Katanya, tindakan pihak tertentu memutarbelitkan fakta demi memainkan sentimen kaum amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku.

“Saya minta polis menjalankan siasatan dan saya juga sedang mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap pihak yang menyebarkan fitnah ini kerana mereka tidak henti-henti memainkan isu perkauman,” ujarnya.

Susulan penyebaran maklumat palsu itu, dua laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau turut meneliti tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan serta menyebarkan dakwaan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button