Gajah Pygmy Borneo ditemukan tanpa kepala, gading
KINABATANGAN – Seekor gajah Pygmy Borneo jantan dipercayai menjadi mangsa pemburu haram selepas ditemukan mati tanpa kepala dan gading di sebuah kawasan ladang berhampiran Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dekat sini, semalam.
Bangkai haiwan setinggi 2.9 meter itu ditemui orang awam kira-kira jam 6.30 pagi dalam keadaan menyayat hati dengan bahagian kepala dipercayai dipotong sebelum gadingnya dilarikan pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut laporan Buletin TV3, seorang pekerja ladang dilaporkan terdengar bunyi letupan kuat pada malam sebelum kejadian.
Namun, pemeriksaan hanya dapat dilakukan pada keesokan harinya berikutan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.
Hasil pemeriksaan anggota Jabatan Hidupan Liar (JHL) di lokasi mendapati bahagian muka dan mulut gajah berkenaan dipercayai dipotong menggunakan peralatan tajam, sekali gus menguatkan kemungkinan ia menjadi sasaran pemburuan haram.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, setakat ini tiada kesan tembakan ditemukan pada badan haiwan itu, namun siasatan lanjut termasuk bedah siasat sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.
Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan JHL mempercepatkan siasatan, memperkukuh operasi penguatkuasaan dan rondaan serta meneruskan kerjasama rapat dengan polis bagi membanteras kegiatan pemburuan haram yang mengancam spesies hidupan liar dilindungi.
“Saya juga meminta pemantauan dipertingkatkan di koridor pergerakan hidupan liar dan kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya.
Jafry menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kejadian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








