WTISD 2026: Kerajaan perkukuh daya tahan digital, lindungi wanita di ruang siber
SUBANG – Kerajaan terus memperkukuh agenda keterangkuman dan keselamatan digital negara susulan peningkatan cabaran jenayah siber termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, meskipun Malaysia mencatat pencapaian membanggakan dalam aspek kesalinghubungan digital, aspek keselamatan pengguna terutama wanita tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, kadar penggunaan internet negara kini mencapai 98.4 peratus bagi lelaki dan 97.6 peratus bagi wanita hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif digital termasuk Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta pembangunan rangkaian 4G dan 5G.
“Namun kita tidak boleh hanya bercakap mengenai konektiviti semata-mata. Konektiviti bermaksud semua orang dapat berhubung dengan internet secara selamat,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) dan Girls in ICT (GICT) 2026 di Saujana Hotel Subang hari ini.
Program anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar, ahli akademik, pelajar serta pengamal media bagi memperkukuh agenda transformasi digital negara.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, antara cabaran baharu yang perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan AI untuk menghasilkan imej lucah tanpa persetujuan individu terlibat.
Menurutnya, perkara itu memberi kesan besar khususnya terhadap wanita muda dan membuktikan perlunya lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ICT dan pembangunan teknologi.
“Kita memerlukan wanita bukan sahaja sebagai pengguna teknologi tetapi juga sebagai pembangun AI dan teknologi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan peningkatan kes jenayah seksual dalam talian berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, sebanyak 31 kes direkodkan pada tahun 2020 sebelum meningkat kepada 44 kes pada 2021.
“Kes menurun kepada 28 pada 2022 tetapi kembali meningkat kepada 67 kes pada 2023, 68 kes pada 2024 dan melonjak kepada 152 kes pada 2025,” katanya.
Sementara itu, sambutan WTISD tahun ini membawa tema “Digital Lifelines: Strengthening Resilience in a Connected World”, manakala GICT pula bertemakan “AI for Development: Girls Shaping the Digital Future”.
Menurut MCMC, kerajaan turut memperluas penyertaan digital masyarakat menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang kini merekodkan hampir 1.9 juta pengguna berdaftar dengan 53 peratus daripadanya wanita.
Tambah kenyataan itu, inisiatif seperti NADI EmpowerHER membantu meningkatkan kemahiran digital, keusahawanan serta peluang sosioekonomi golongan wanita sejajar aspirasi Malaysia MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







