BERITA SEMASA

Pendaki negara Khafiz Al Kicok berjaya tawan Everest

KUALA LUMPUR – Selepas mencipta sejarah menawan K2 pada 2023, pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai Khafiz Al Kicok sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya menakluk Gunung Everest pada pukul 5.24 pagi waktu tempatan hari ini.

Kejayaan pendaki berusia 47 tahun itu diumumkan syarikat pengurusan ekspedisi, Nima Adventure menerusi satu kenyataan yang memuji kekuatan mental, kesabaran dan keazaman beliau sepanjang musim pendakian Everest tahun ini.

Menurut syarikat itu, perjalanan Khafiz dari peringkat persiapan awal sehingga ke pendakian terakhir menuju puncak tertinggi dunia menjadi antara pengalaman luar biasa untuk disaksikan.

“Gunung ini menguji semua orang pada musim ini, namun kesabaran, mentaliti kuat dan keazaman Khafiz tidak pernah berubah,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Khafiz mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menawan puncak K2 di Pakistan setinggi 8,611 meter yang terkenal antara gunung paling sukar dan berbahaya di dunia.

Kejayaan itu meletakkan beliau sebagai antara pendaki Asia Tenggara yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak berkenaan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pendaki berkaliber.

Pada 2020, Mohd Khafiz memulakan kayuhan basikal dari Tanjung Piai, Johor (titik benua paling selatan) merentasi Thailand, Laos dan China dengan matlamat untuk mendaki Everest.

Bagaimanapun, di pertengahan perjalanan beliau mengubah haluan ke Pakistan sebelum berjaya menawan K2.

Keputusan spontan itu bukan sahaja membentuk pengalaman luar biasa, malah menjadi titik penting dalam perjalanan karier pendakiannya.

Sementara itu, Nima Adventure turut melahirkan penghargaan kerana diberi kepercayaan mengurus dan menyokong ekspedisi Khafiz bermula dari Kathmandu sehingga berjaya berdiri di puncak dunia.

Pada masa sama, penghargaan turut diberikan kepada Altipro Adventures atas kerjasama dan bantuan sepanjang ekspedisi termasuk menjaga kebajikan Khafiz serta pasukan pendakian di gunung berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button