Mangsa ribut di Tanjung Aru terima bantuan segera hingga RM3,000
LABUAN – Penduduk Kampung Tanjung Aru yang terjejas akibat ribut kuat menyerupai puting beliung pada 12 Mei lalu menerima bantuan kewangan segera sehingga RM3,000 bagi membantu meringankan beban dan mempercepatkan kerja pembaikan rumah masing-masing.
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam kenyataan memaklumkan, bantuan itu disalurkan kepada keluarga terjejas susulan kerosakan kediaman akibat angin kencang dan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.
“Ada kediaman yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, siling serta harta benda rumah sekali gus menjejaskan keselesaan dan keselamatan keluarga yang terlibat.
“Susulan kejadian tersebut, JWP segera menyelaraskan bantuan kewangan sehingga RM3,000 kepada setiap keluarga yang terjejas bagi membantu meringankan beban serta mempercepatkan kerja-kerja pembaikan awal kediaman mereka,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Bantuan berkenaan disampaikan Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain kepada 22 ketua isi rumah daripada keseluruhan 43 rumah yang terkesan dalam kejadian tersebut.
Menurut JWP, sebanyak 22 rumah mengalami kerosakan teruk, manakala 10 rumah rosak sederhana dan 11 lagi mengalami kerosakan kecil.
“Bantuan segera amat penting ketika mangsa masih menguruskan kerosakan rumah, membersihkan kawasan kediaman serta memastikan keselamatan keluarga masing-masing,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, Perbadanan Labuan (PL) turut menyalurkan bantuan tambahan antara RM1,000 hingga RM3,000 mengikut tahap kerosakan yang dialami mangsa.
JWP dan PL memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa penduduk terjejas serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Penghargaan turut diberikan kepada pasukan penyelamat, anggota keselamatan, sukarelawan dan penduduk setempat yang membantu mangsa sepanjang tempoh pasca kejadian.
“Bencana mungkin berlaku tanpa amaran namun usaha membantu dan memastikan kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, keselamatan keluarga perlu sentiasa menjadi keutamaan dan orang ramai disaran mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








